sktpjs.zoom-a.com
SK. TAMAN PAROI JAYA
Jln. Persiaran Merak, 70400 Seremban, N. Sembilan Tel:066793241, Faks:066772340
e-mel : sktpjsns@yahoo.com, sktpjs@zoom-a.com

| LAMAN UTAMA | KATA ALU-ALUAN | SEJARAH | FALSAFAH PENDIDIKAN | VISI & MISI | LOGO SEKOLAH | BENDERA SEKOLAH | LAGU SEKOLAH | STAF AKADEMIK | STAF SOKONGAN | ENROLMEN GURU | ENROLMEN MURID | UPSR | INFO ICT | KRONOLOGI KOMPUTER | ICTL | ANTIVIRUS | BIMBINGAN&KAUNSELING | BICARA AGAMA | TAZKIRAH | KESIHATAN | PAUTAN | RANCANGAN TAHUNAN | PIBG SKTPJ | BUKU PELAWAT | HUBUNGI KAMI | SEMBANG ICT | PETA SKTPJ | INFO HALAL | INFO SOLAT | INFO PTPTN | INFO SAMAN | PERMATA PINTAR | AKTIVITI 2009 | AKTIVITI 2010 | AKTIVITI 2011 | AKTIVITI 2012 | AKTIVITI 2013 | AKTIVITI 2014 | ASMAULHUSNA | UCAPAN | KATA-KATA HIKMAH | E-PENYATA GAJI | WARGA SKTPJ | GALERI SKTPJ | E-FILING | KSSR | LAMAN UTAMA |

Langkah bantuan kecemasan untuk mangsa kemalangan jalan raya:

  • Pastikan keadaan sekeliling selamat

  • Panggil mangsa atau tepuk bahunya beberapa kali untuk memastikan dia sedar atau tidak

  • Jika mangsa tidak sedarkan diri, ini menandakan keadaannya mungkin serius dan hubungi talian 999 untuk mendapatkan ambulans dengan segera. Anda juga perlu memanggil ambulans walaupun mangsa dalam keadaan sedar

  • Sementara ambulans sampai, lakukan langkah A, B, C (udara, pernafasan dan edaran udara)

  • Jika mangsa sedar, cuba berkata sesuatu kepadanya untuk memastikan dia mampu bercakap kerana apabila mangsa bercakap, peredaran udara akan berlaku. Maknanya udara akan masuk ke dalam paru-paru dan otak (A)

  • Jika mangsa tidak sedarkan diri, cuba buka saluran pernafasannya dengan mendongakkan kepalanya dan lihat tanda pernafasan. Tanda pernafasan boleh dikesan dengan melihat dada, sama ada berlaku pergerakan dada atau abdomen mangsa. Anda juga boleh mengesan pernafasan mangsa dengan mendekatkan pipi anda ke mulut mangsa (B)

  • Jika mangsa tidak bernafas, segera beri bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR)

  • Jika mangsa mengalami pendarahan, darah perlu dihentikan segera untuk mengelak mangsa mengalami kejutan atau mati akibat kehilangan banyak darah

  • Luka perlu ditutup dengan kain kasa atau tuala yang bersih. Tekan kain atau tuala ini pada luka. Kehadiran bahan asing (tuala dan kain) akan menyebabkan darah bergumpal dan menghentikan pendarahan. Jika kain atau tuala itu dibasahi darah, tekap sehelai lagi kain di atasnya. Jangan alihkan kain atau tuala yang dibasahi darah tadi kerana ia akan turut mengalihkan komponen untuk membekukan darah yang terbentuk pada luka dan menyebabkan pendarahan terus berlaku

  • Jika ambulans belum tiba, ambil data perubatan mangsa

  • Alihkan kereta dan barang yang menghalang perjalanan trafik

    Bantuan CPR

  • Baringkan mangsa di tempat selamat. Dongak kepala mangsa (dengan menolak dagu ke atas) dan buka mulutnya. Ini akan membuka saluran pernafasannya.

  • Periksa pernafasan mangsa. Dekatkan pipi anda ke hidung dan mulut mangsa, lihat ke arah dadanya untuk mengetahui ada pernafasan (ini perlu dilakukan dengan pantas iaitu dalam masa lima hingga 10 saat).

  • Jika tiada pernafasan, beri bantuan pernafasan kepadanya. Picit hidung mangsa, tekap mulut anda ke mulut mangsa dan hembus dua kali atau hingga anda lihat dadanya ternaik sedikit. Jika mangsa bernafas semula dan tiada kesan trauma, alihkan kedudukan badannya supaya dia baring mengiring (posisi penyembuhan).

  • Jika mangsa tidak bernafas, periksa nadi karotid selama lima hingga 10 saat. Letak dua atau tiga jari pada halkum mangsa dan alih jari anda supaya ia ada di antara halkum dan otot leher.

    Jika ada denyutan nadi tetapi tiada pernafasan, beri bantuan pernafasan; iaitu 12 hembusan bagi satu minit (satu hembusan untuk setiap lima saat).

    Jika tiada denyutan nadi, beri bantuan ‘pengepaman jantung’ pada dada. Letakkan tumit tangan kanan di bawah tulang dada dan letak tangan kiri di atas tangan kanan. Buat 30 tekanan untuk dua hembusan.

    Maknanya selepas anda memberi dua hembusan, tekan dadanya sebanyak 30 kali. Ulang kaedah ini sebanyak lima kali atau lebih sehingga bantuan sampai.
  • Elak lemak di pinggang

    Masalah perut buncit tidak mengira jantina — ia boleh berlaku pada lelaki dan wanita. Bagaimanapun, kebanyakan wanita mempunyai bentuk badan ‘buah pir’ di mana pengumpulan lemak lebih tertumpu pada pinggul dan paha.

    Malah, wanita yang lebih sensitif terhadap penampilan akan berusaha mengekalkan bentuk badan. Baik lelaki atau wanita, berperut buncit bukan perkara membanggakan. Namun apabila usia meningkat, usaha mengurangkan lemak di pinggang dan menurunkan berat badan biasanya payah dan mengambil masa lebih lama.

    Bagi wanita, pengumpulan lemak pada pinggang biasanya lebih ketara dengan peningkatan usia, terutama selepas menopaus. Selepas menopaus, lokasi pengumpulan lemak berpindah daripada di bawah lengan, paha dan pinggul ke pinggang.

    Berita baiknya, tidak kira apa pun bentuk badan, apabila anda bersenam secara teratur dan menjaga pemakanan, bahagian paling cepat susut dan hilang ialah lemak di pinggang. Lemak pada bahagian lain akan menyusul kemudian.

    Mengapa perlu hilangkan lemak di pinggang? Lemak di pinggang atau kegemukan sentral (tengah) adalah petanda kurang baik kerana ia boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

    Lemak ini dipanggil lemak viseral. Cuba cubit lemak di pinggang anda. Lemak yang boleh dipegang ini di namakan lemak subkutaneus iaitu lemak di bawah kulit. Lemak viseral ialah lemak yang kita tidak dapat lihat; yang terkumpul di keliling organ.

    Orang gemuk biasanya mempunyai banyak lemak yang mengisi ruang di antara dan mengelilingi organ. Ia perlu ‘dihilangkan’ kerana boleh menjejaskan fungsi organ dan dalam kes serius, ia menyebabkan organ gagal berfungsi.

    Lemak viseral ada di lapisan lebih dalam, tetapi ia lebih mudah dibakar berbanding lemak subkutaneus melalui senaman, kata pensyarah pemakanan Universiti Penn State, Dr Penny Kris Etherton.

    Lemak viseral dikaitkan dengan masalah kolesterol tinggi, trigliserida tinggi, tekanan darah tinggi dan terlalu banyak insulin. Pakar perubatan juga menggelarnya ‘lemak pembunuh’.

    Lemak di pinggang lebih berbahaya berbanding tempat lain. Lemak viseral meningkatkan risiko untuk mendapat:

  • Penyakit jantung

  • Kencing manis

  • Sindrom metabolik

  • Masalah pundi kencing

  • Tekanan darah tinggi

  • Kanser usus

  • Merangsang keradangan

  • Dikaitkan dengan proses pengerasan salur darah (menyebabkan lebih mudah mengalami masalah jantung)

    Penyelidik mendapati sel lemak di pinggang adalah sel aktif. Ia boleh menghasilkan hormon dan bahan lain yang boleh menjejaskan kesihatan.

    Contohnya, ada sel menghasilkan hormon yang merangsang masalah kerintangan terhadap insulin (menyebabkan sel tidak sensitif kepada insulin yang bertugas mengangkut gula dari darah ke dalam sel).

    Ada pula sel lemak menghasilkan hormon estrogen yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Bagaimanapun, penyelidik masih mencari jawapan bagaimana hormon berlebihan ini boleh menjejaskan kesihatan tetapi yang pasti, berlebihan sel lemak di pinggang mengganggu keseimbangan hormon dalam badan.

    Mungkin ada yang terfikir untuk menjalani proses sedut lemak. Menurut Perunding Pembedahan Plastik dan Kosmetik Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Lim Chai Leng, proses ini hanya untuk membuang lemak subkutaneus di bawah kulit dan bukan lemak viseral. Lemak viseral masih tetap ada dan hanya hilang melalui senaman.

    Menurut Perunding Kanan Endokrinologi, Universiti Malaya, Profesor Dr SP Chan, tahap kesihatan seseorang tidak akan berubah dengan pembedahan sedut lemak kerana ia hanya untuk tujuan kosmetik supaya nampak cantik.

    Untuk meningkatkan tahap kesihatan, seseorang itu perlu bersenam dan menjaga pemakanan, terutama bagi individu yang berisiko tinggi mendapat kencing manis seperti mempunyai ahli keluarga menghidap penyakit berkenaan.

    Siapa yang berisiko mengalami masalah ini? Seseorang itu dikatakan mempunyai simpanan lemak viseral jika ukuran pinggangnya melebihi 98 sentimeter (40 inci) bagi lelaki dan 83 sentimeter (33 inci) bagi wanita.

    Walaupun orang yang gemuk dan obes mempunyai lebih banyak lemak viseral, tidak bermakna individu dengan berat badan normal tidak mengalami masalah ini. Ada ramai orang yang tidak gemuk tetapi berperut buncit.

    Kajian menunjukkan lelaki dan wanita berusia 70 tahun ke atas dengan berat badan normal tetapi mempunyai banyak lemak viseral berisiko tinggi mendapat kencing manis.

    Walaupun kajian itu ke atas warga tua, ia juga boleh dijadikan peringatan kerana kini ramai golongan muda menghidap kencing manis.

    Tiada cara mudah, pil ajaib, makanan atau senaman khusus yang mampu menghilangkan lemak di pinggang. Malah, senaman khusus seperti angkat tubi juga tidak akan membuatkan perut anda kempis. Cara terbaik untuk mengurangkan lemak di pinggang ialah:

  • Bersenam — Senaman aerobik seperti berjalan cepat, menari, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau berenang boleh membantu membakar lemak di pinggang dengan cepat. Untuk lebih berkesan, lakukan senaman lima kali seminggu dengan sekurang-kurangnya 60 minit setiap sesi.

    Lebih lama dan bersungguh-sungguh anda bersenam, lebih banyak lemak di pinggang akan hilang. Senaman yang tertumpu pada bahagian tertentu tidak akan membantu. Senaman ini perlu mampu meningkatkan degupan jantung anda.

    Kajian Pusat Kanser Fred Hutchinson di Seattle menunjukkan wanita gemuk yang bersenam secara teratur boleh mengurangkan antara 3.4 peratus hingga 6.9 peratus lemak viseral (bergantung kepada kelasakan senaman) tanpa mengubah pemakanan mereka dengan penurunan berat badan sebanyak dua kilogram. Lebih cergas senaman dilakukan, lebih banyak lemak viseral dapat dihilangkan.

  • Makan makanan mengandungi banyak serat. Serat bukan saja membuat anda cepat kenyang, tetapi kenyang lebih lama. Ia akan mengurangkan pengambilan makanan berlebihan. Elak makanan ringan dan banyak lemak.

  • Dapatkan tidur secukupnya. Tidur terlalu sedikit (kurang enam jam) atau terlalu banyak (lebih lapan jam) menyebabkan badan menghasilkan berlebihan hormon tekanan, kortisol. Hormon ini merangsang penyimpanan lemak di pinggang.

  • Belajar mengawal tekanan melalui pelbagai pendekatan, termasuk bersenam. Ia dapat mengurangkan penghasilan hormon kortisol yang sekali gus membantu memudahkan anda mengatasi masalah kegemukan secara keseluruhan.

    Kanser kolon

    KANSER kolon (usus besar) adalah salah satu daripada penyakit penghadaman yang boleh mengancam nyawa.Lebih membimbangkan, kanser kolon adalah antara kanser yang paling kerap dihidapi di seluruh dunia.

    Di Malaysia, laporan Pendaftaran Kanser Negara 2003-2005 mendedahkan bahawa kanser kolon adalah kanser yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dan yang ketiga di kalangan wanita.

    Kanser kolon juga kanser yang paling kerap dihidapi oleh wanita berusia melebihi 70 tahun.

    Permulaan kanser

    Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam kolon. Kebanyakan polip adalah benign atau tidak berbahaya.

    Tetapi, jika ia dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi malignan (barah). Proses pertukaran dari benign ke malignan juga selalunya mengambil masa yang lama.

    Pada peringkat awal, kanser kolon mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Tetapi apabila sudah berlanjutan, pesakit mungkin mengalami perubahan seperti cirit-birit atau sembelit berdarah, kelesuan, sakit perut yang teruk, muntah, kehilangan berat badan dan juga anemia (kurang darah merah).

    Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin sudah merebak dari usus besar ke organ lain menerusi proses yang dinamakan metastasis.

    Ia biasanya menyerang hati, menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti jaundis atau penyakit kuning. Apabila keadaan ini berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk.

    Hakikatnya, kanser kolon boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

    Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser kolon di peringkat awal.

    Satu-satunya cara untuk mengesan kanser kolon di peringkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

    Kenali faktor risiko

    Kebanyakan kes kanser kolon berlaku secara rambang. Ini bermakna ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

    Punca sebenar kanser kolon juga masih tidak diketahui, tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.

    Faktor yang pasti ialah sejarah penyakit ini dalam keluarga. Risiko anda lebih tinggi jika ada antara anggota keluarga anda menghidap kanser kolon.

    Malah, 10 hingga 20 peratus daripada pesakit kanser kolon mempunyai sejarah penyakit dalam keluarga.

    Jika ibu, bapa atau adik-beradik anda menghidap kanser kolon pada usia 30 tahun, anda mungkin perlu mula menjalani pemeriksaan lima tahun sebelum anda mencapai usia itu, atau mungkin lebih awal lagi.

    Keadaan tertentu yang menyebabkan keradangan usus (seperti ulcerative colitis) juga boleh meningkatkan risiko kanser kolon. Faktor risiko lain yang dikaitkan dengan kanser kolon termasuk:

    *Diet

    Lebih ramai rakyat Malaysia makan terlalu banyak daging merah (lembu atau kambing) dan kurang makan serat (buah dan sayur). Penekanan hendaklah diberikan kepada bijirin, buah-buahan dan sayuran, dan kurangkan pengambilan daging merah.

    *Usia

    Risiko meningkat selepas usia 50 tahun. Bagaimanapun, perangkaan menunjukkan bahawa risiko penyakit ini boleh bermula seawal umur 20-an hingga 30-an. Peningkatan kes lebih ketara selepas usia 50 tahun.

    *Sejarah peribadi

    Wanita dengan sejarah kanser ovari, uterus dan payu dara berisiko lebih tinggi.

    *Jantina

    Wanita lebih berisiko daripada lelaki. Tetapi di Malaysia, risiko kanser kolon di kalangan lelaki lebih tinggi sedikit berbanding wanita (nisbah 11:10).

    *Gaya hidup

    Pengambilan alkohol secara berlebihan, merokok serta kurang atau langsung tidak melakukan aktiviti fizikal meletakkan anda dalam risiko. Begitu juga berat badan berlebihan.

    Pilihan rawatan

    Rawatan bergantung pada bila kanser kolon dikesan. Lebih awal ianya dikesan, maka lebih baik prognosisnya.

    Pada peringkat awal doktor boleh merawat dan menyembuhkan penyakit ini dengan lebih berkesan.

    Terdapat juga banyak kaedah rawatan di peringkat lanjutan, termasuk kemoterapi dan pembedahan. Rawatan di peringkat ini bagaimanapun lebih agresif dan biasanya tidak begitu berkesan untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

    Kurangkan risiko anda

    Meskipun belum ada garis panduan pemeriksaan untuk kanser kolon di Malaysia, banyak pihak, termasuk Kementerian Kesihatan, menyedari bahawa pengesanan awal penting dan garis panduan mengenainya sedang dirangka.

    Cara utama untuk mengurangkan risiko pada diri ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Anda mungkin tidak dapat menukar sejarah keluarga atau usia anda, tetapi anda boleh bersenam, menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat.

    Jadi, segera mulakan gaya hidup sihat hari ini dan jangan lupa bahawa pemeriksaan awal paling penting dalam usaha untuk mengesan dan melawan kanser kolon!

    Sedih, marah punca sakit jantung

    UMUM mengetahui, emosi terbentuk di dalam otak manakala perasaan terbit dari dalam hati, atau sebenarnya organ dalaman iaitu jantung.

    Namun begitu, bagaimana pula dengan emosi negatif? Apabila anda terlalu sedih atau marah sehingga 'sakit hati', adakah keadaan emosi tersebut benar-benar menyebabkan kesakitan pada jantung anda?

    Bagi mengetahui kesan tersebut, dua kajian dijalankan baru-baru ini bagi menyokong teori bahawa apa yang difikirkan otak benar-benar mampu mencederakan jantung anda.

    Kajian pertama terbitan Journal of the American College of Cardiology (JACC) mendapati, wanita yang menghidap simptom kemurungan menghadapi risiko lebih tinggi diserang penyakit jantung. Wanita yang disahkan murung secara klinikal pula dua kali ganda berkemungkinan meninggal dunia akibat jantung terhenti.

    Para penyelidik menyimpulkan bahawa kemurungan mempunyai impak psikologi secara terus menerus terhadap jantung kerana ia terpaksa berfungsi lebih kuat apabila berdepan tekanan.

    Kajian turut mendapati, wanita murung lebih cenderung merokok, mengalami tekanan darah yang tinggi dan menghidap diabetes.

    Ubat anti murung yang digunakan oleh ramai pesakit wanita juga dikaitkan dengan masalah jantung dan kematian secara tiba-tiba terutama di kalangan remaja.

    Satu lagi kajian pula mendapati, mood seseorang itu mempengaruhi tekanan ke atas jantung dan bukan sebaliknya.

    Kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik University College London pula menemui, lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian.

    Kajian pertama menemui golongan yang didorong semangat bekerja, kompetitif dan obses dengan 'deadline', kurang potensi mengalami penyakit jantung.

    Dalam kata lain, pekerja yang terlalu bercita-cita tinggi dan 'terlebih' rajin kurang risiko diserang sakit jantung berbanding golongan yang menyimpan dendam, marah dan menentang secara berselindung.

    Kajian kedua menemui beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung fizikal. Ini kerana, golongan panas baran mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, tabiat pemakanan teruk, tidak bersenam, kuat merokok dan lebih gemuk.

    Golongan panas baran ini pada mulanya langsung tidak menghadapi risiko, tetapi akhirnya mengalami 19 peratus kemungkinan lebih tinggi diserang penyakit jantung koronari.

    Kedua-dua kajian tersebut turut menemui stereotaip jantina iaitu, wanita 'sakit' jantung akibat menanggung kesedihan manakala lelaki 'sakit' jantung dengan kemarahan.

    Walaupun begitu, dua kajian bersetuju bahawa lelaki dan wanita mengetahui punca penyakit jantung seperti diet salah, kurang bersenam dan sukar tidur.

    Sehubungan itu, adalah penting lelaki atau wanita tidak membiarkan diri tenggelam dalam emosi kerana boleh merosakkan mental dan organ dalaman yang paling penting iaitu jantung.

    Seribu satu khasiat ulam

    MAKAN ulam baik untuk kesihatan. Ayat itu sudah biasa didengar, tetapi tidak semua mengetahui akan khasiat sebenar yang terselindung di sebalik ulam-ulaman yang banyak dijual di Pasar Malam Sayur Kampung, Chow Kit, Kuala Lumpur ini.

    Dahulu, ulam mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Tetapi, kini hidangan ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka.

    Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.

    Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

    Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.

    Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

    Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.

    Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.

    Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

    Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.

    Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.

    Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

    Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

    Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.

    Sebolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu membuka selera, turut 'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi pemakanan mahupun perubatan.

    Untuk itu, para petani perlu memainkan peranan menanam pokok-pokok ulam secara komersial bukan hanya mengharapkan ia tumbuh melata di hutan atau kebun mereka.

    Kawalan kolesterol tinggi

    Amalan pengambilan minyak ikan yang kaya dengan omega-3 sememangnya baik untuk kesihatan.

    Minyak ikan sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah yang berkaitan dengan keradangan seperti artritis dan mengurangkan risiko trombosis yang menjurus kepada serangan jantung dan strok.

    Dengan itu, ia membantu merangsang aliran yang lebih baik, seterusnya membantu mengurangkan tekanan darah.

    Sekiranya anda mengalami peningkatan kolesterol, rawatan asas adalah mengawal pengambilan pemakanan berlemak, bergoreng dan berminyak.

    Senaman berkala adalah sangat digalakkan, memandangkan ia bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan jantung, tetapi juga kesihatan umum lain.

    Selain itu, ubat untuk merawat peningkatan kolesterol, statin, sememangnya perlu agar peningkatannya boleh dikawal, terutamanya jika pengawalan makanan dan senaman tidak memadai.

    Bagi yang ingin mencari pendekatan alternatif untuk merendahkan paras kolesterol, mereka mungkin boleh menarik nafas lega apabila kajian menunjukkan pengambilan suplemen juga boleh membantu.

    Berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan dalam Mayo Clinic Proceeding pada Julai 2008, sekumpulan penyelidik dari Pennsylvania mengkaji sama ada pendekatan alternatif untuk merawat kolesterol tinggi boleh dijadikan pilihan yang berkesan kepada pesakit yang tidak boleh atau tidak mahu mengambil statin.

    Kajian mendapati kumpulan rawatan alternatif mengalami penurunan kolesterol sebanyak 42.4 peratus, manakala penurunan sebanyak 39.6 di kalangan kumpulan statin.

    Mereka dari kumpulan terapi alternatif juga mengalami penurunan trigliserida dan berat badan yang lebih baik berbanding kumpulan simvastatin.

    Keletihan dan mudah lupa

    Diet merupakan antara faktor utama yang perlu dititikberatkan. Untuk memastikan sel mendapat oksigen yang mencukupi, ia memerlukan sesuatu yang lebih, selain daripada bekalan darah yang baik.

    Vitamin dan mineral juga diperlukan dalam metabolisme tenaga. Vitamin B dikenali sebagai 'vitamin untuk tenaga', tetapi sebenarnya ia adalah untuk metabolisme karbohidrat, protein dan lemak supaya badan dapat membakarnya dengan lebih berkesan untuk ditukarkan kepada tenaga. Dengan itu, pengambilan vitamin B kompleks mungkin dapat membantu anda.

    Keletihan yang dialami mungkin juga disebabkan oleh stres dan rehat yang tidak mencukupi. Pengekalan fungsi imun yang optimum juga memerlukan diet yang sihat dan seimbang, gaya hidup yang sihat serta rehat yang secukupnya.

    Jangan lupa untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar ke dalam diet seharian kerana ia diperlukan untuk kesihatan dan sumber tenaga.

    Adalah penting bagi anda supaya minum air dengan secukupnya supaya dapat melancarkan lagi sistem perkumuhan dan penyingkiran toksin dari badan. Ia juga sangat penting untuk mengelakkan dehidrasi dan mengelakkan keletihan.

    Mengambil spirulina organik merupakan antara pilihan ideal untuk mereka yang memerlukan nutrien tambahan untuk menampung keperluan tubuh.

    Spirulina dikenali sebagai 'superfood' kerana kandungan protein yang tinggi, beta karotena, kumpulan vitamin B seperti B12, B6, niasin, biotin, asid pantotenik dan asid folik yang kaya, mineral, asid lemak perlu (omega-6), pigmen tumbuhan dan enzim semula jadi untuk asimilasi dan kecergasan fizikal.

    Selain itu, spirulina organik juga boleh dimanfaatkan untuk kanak-kanak, memandangkan kandungannya yang kaya dengan nilai pemakanan, tentu ia diperlukan semasa tempoh tumbesaran fizikal dan perkembangan minda.

    Ia juga mengandungi bahan kimia daripada tumbuhan seperti fikosianin dan glikolipid dan sebagainya yang diperlukan untuk membaik pulih sel.


  • Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

    Pelawat: